KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan peruntukan khas RM3.5 juta yang diagihkan kepada setiap Ahli Parlimen blok kerajaan dimansuhkan segera.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, ia kerana penjimatan lebih besar dapat dilakukan dan memberikan kesan kepada perbelanjaan negara.
“Adakah benar peruntukan RM3.5 juta itu jika dimansuhkan akan menjejaskan rakyat di akar umbi? Jika demikian, adakah itu bermaksud rakyat di Parlimen yang diwakili pembangkang sudah terjejas selama tiga tahun dari tahun 2023 – 2025?
“Bukankah itu lebih zalim dan kejam?” tulis di Facebook miliknya hari ini.
Beliau mengulas satu respon daripada seorang pembaca Facabook miliknya itu berhubung cadangan hapuskan peruntukan RM3.5 juta setahun kepada ahli Parlimen kerajaan.
Sebelum itu, beliau turut mengulas laporan memetik Majlis Belia Malaysia (MBM) yang mengemukakan empat cadangan utama kepada kerajaan sebagai langkah mengimbangi impak tekanan global akibat ketegangan di Asia Barat termasuk menyemak semula elaun petrol 222 Ahli Parlimen.
Ahmad Fadhli menambah, kerajaan sering menyatakan walaupun peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak diberikan namun nasih rakyat tetap dibela.
“Maka sekarang, belalah rakyat menggunakan kaedah yang sama. Yang penting, RM3.5 juta untuk satu Parlimen berjaya dijimatkan.
“Setelah penjimatan besar RM3.5 juta setahun untuk satu Parlimen ini dijimatkan, barulah kita beralih kepada penjimatan kecil. Contohnya RM1,500.00 elaun petrol. Saya setuju,” katanya. – MalaysiaGazette
