Penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar menegaskan hukuman penjara sahaja tidak memadai, memandangkan ia tidak mampu menyara anak yatim atau isteri yang hilang punca nafkah.
Beliau berkata demikian susulan tragedi seorang penunggang motosikal dirempuh pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang sebelum tercampak ke atas Perodua Myvi dan meninggal dunia di lokasi, semalam.
Pendakwah terkenal itu menjelaskan, dalam Islam, keadilan masih belum selesai selagi keluarga mangsa tidak menerima pembelaan yang sepatutnya.
“Undang-undang perlu dipinda agar pampasan (diyat) sampai kepada waris dengan cepat tanpa membebankan waris,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Menurut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), diyat adalah denda dengan jumlah yang ditetapkan ke atas kesalahan mengakibatkan kehilangan jiwa atau kecederaan anggota untuk dijadikan pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa.Diyat adalah sebuah mekanisme yang efektif dalam usaha mengawal jenayah, menghukum pelakunya dan pada masa sama memberi keadilan kepada mangsa dan keluarganya.
