KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim didakwa mengarahkan hasil siasatan terhadap Tan Sri Azam Baki tidak didedahkan telah menimbulkan persoalan yang besar dan serius berkenaan komitmennya dalam melawan rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.
MUDA membangkitkan pertikaian itu menyusuli pengakuan Anwar sendiri beberapa minggu lepas bahawa laporan terhadap skandal Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu sudah siap dan sepatutnya terus dibentang di Kabinet.
Bloomberg bagaimanapun dalam laporan hari ini mendedahkan arahan Anwar itu setelah terdahulu media antarabangsa tersebut mendedahkan bahawa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Ekoran jumlah pegangan dalam beberapa saham didakwa terlalu besar dan tidak selaras pekeliling ke atas penjawat awam serta desakan awam, maka kerajaan telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan berkait isu tersebut.
Ia dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dengan turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
“Namun begitu, sehingga ke hari ini, laporan ini masih belum didedahkan kepada umum, seolah-olah memberi gambaran bahawa wujud usaha untuk melindungi Azam Baki. Ini adalah bercanggah dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang diangkat Kerajaan Madani.
“Dalam isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri, sebarang kelewatan bukan sahaja mencetuskan keraguan, malah terus menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi anti-rasuah negara,” ujar kenyataan dikeluarkan Biro Politik MUDA.
Bloomberg mendakwa, kebimbangan Anwar adalah sekiranya laporan pegangan saham tersebut didedahkan, ia akan menjejaskan persepsi terhadap kerajaannya menjelang kemungkinan pilihan raya umum yang boleh berlaku seawal tahun ini.
Menurut laporan didedahkan itu, rancangan Anwar adalah untuk membincangkan semula perkara tersebut dalam Kabinet selepas siasatan terhadap dakwaan penglibatan individu yang digelar sebagai ‘mafia korporat’ selesai.
Pemimpin itu dilaporkan meminta penangguhan tersebut sehingga siasatan berasingan terhadap dakwaan dalam laporan Bloomberg mengenai sekumpulan ahli perniagaan yang bekerjasama dengan agensi anti-rasuah untuk menyingkirkan eksekutif syarikat.
Media itu juga sebelum ini turut melaporkan bahawa Anwar bersedia melepaskan Azam berundur selepas tempoh perkhidmatannya tamat pada 12 Mei ini, namun Azam telah berkempen untuk dilantik sebagai Senator selepas meninggalkan jawatannya.
“Lebih membimbangkan, timbul pula spekulasi bahawa Tan Sri Azam Baki yang sedang berdepan pelbagai persoalan integriti dan skandal ini mungkin akan dilantik ke jawatan awam seperti Senator.
“Seseorang yang sedang dikaitkan dengan isu integriti, salah guna kuasa dan dakwaan berkaitan rasuah tidak sepatutnya dipertimbangkan untuk sebarang pelantikan ke jawatan awam, apatah lagi ke Dewan Negara.
“Pelantikan sedemikian, jika berlaku, akan menghantar isyarat bahawa akauntabiliti boleh diketepikan, dan kedudukan digunakan sebagai perlindungan,” bidas MUDA dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Bekas Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli yang juga bekas Menteri Ekonomi sebelum ini mendakwa bahawa siasatan tersebut mendedahkan Azam memiliki saham bernilai RM14 juta (USD 3.5 juta) dalam sembilan buah syarikat.
Sedangkan Pekeliling Kerajaan (2024) berkenaan tatakelakuan pegawai awam menyatakan bahawa mereka boleh membeli saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat tidak melebihi 5 peratus modal berbayar atau nilai RM100,000 (mana lebih rendah).
Susulan pendedahan tersebut yang turut membawa kepada pembongkaran isu ‘mafia korporat’ didakwa membabitkan keterlibatan pegawai-pegawai SPRM dan ketidakyakinan kepada siasatan dilakukan, muncul desakan agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Bagaimanapun Kerajaan Anwar seperti reaksi-reaksi sebelum ini berterusan menunjukkan sikap berdolak-dalih hingga mengundang cemuhan dan ketidakpercayaan awam terhadap komitmennya memerangi rasuah.
“Reformasi institusi tidak boleh sekadar menjadi slogan politik. Ia mesti dibuktikan melalui tindakan yang tegas, telus dan konsisten termasuk dalam kes yang melibatkan individu berprofil tinggi.
“MUDA mendesak kerajaan untuk segera mendedahkan sepenuhnya hasil siasatan tersebut dan memastikan tiada sebarang pelantikan dibuat selagi isu ini belum diselesaikan secara tuntas. MUDA juga mahu Tan Sri Azam Baki direhatkan dari jawatan sedia ada.
“Integriti institusi negara tidak boleh dikompromi demi melindungi mana-mana individu. Kerajaan tidak boleh terus mempertahankan atau melengahkan pendedahan dalam isu ini tanpa menanggung implikasi besar terhadap kredibiliti sendiri
“Jika Perdana Menteri memilih untuk terus melindungi Azam Baki, maka yang dipertahankan bukan lagi integriti negara, tetapi kepentingan politiknya sendiri. – HARAKAHDAILY 30/3/2026
