
PARIT: Kerajaan Persekutuan digesa melaksanakan sekurang-kurangnya tiga inisiatif bagi mengatasi isu kenaikan harga diesel yang kian menghimpit rakyat pada ketika ini.
Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, cadangan pertama ialah menambah baik mekanisme bantuan tunai di bawah program BUDI MADANI dengan menjadikan kadar bantuan bulanan lebih dinamik mengikut harga pasaran semasa diesel.
Menurutnya lagi, cadangan kedua ialah proses pendaftaran juga perlu dipermudah melalui kaunter bergerak khususnya di kawasan pedalaman agar tiada golongan tercicir akibat kekangan capaian digital.
“Yang ketiga ialah penubuhan Dana Stabilisasi Harga Barang Asas yang dibiayai daripada hasil penjimatan penyasaran subsidi diesel.
“Dana ini boleh digunakan untuk memberi subsidi silang kepada pembekal utama barangan keperluan seperti beras, minyak masak dan protein sekiranya kos logistik meningkat,” jelas beliau dalam satu kenyataan media, hari ini.
Kesemua langkah ini, tambah Ismi, penting bagi memastikan harga di peringkat pengguna kekal stabil dan inflasi dapat dikawal.
“Kenaikan harga diesel baru-baru ini telah mencetuskan kegelisahan ketara dalam kalangan penduduk luar bandar yang bergantung kepada bahan api itu bagi sektor pertanian, penternakan dan pengangkutan kecil.
“Ia memberi kesan langsung kepada kos operasi harian, sekali gus menjejaskan pendapatan pekebun kecil, pesawah dan penternak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keperluan penguatkuasaan tegas perlu dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membendung aktiviti pencatutan.
“Kita tidak mahu subsidi disasarkan kepada rakyat, tetapi keuntungan pula disasarkan oleh kartel. Tindakan tegas mesti diambil terhadap pihak yang mengambil kesempatan,” katanya.
Terdahulu, kenaikan harga diesel di Malaysia berlaku ketika harga minyak global tidak stabil akibat faktor geopolitik dan peningkatan permintaan pasca-pandemik.
Diesel merupakan bahan bakar utama bagi sektor pertanian dan pengangkutan, terutamanya di kawasan luar bandar yang jarang dilalui pengangkutan awam.
Dalam tempoh setahun terakhir, kenaikan harga diesel secara berperingkat menimbulkan tekanan tambahan kepada kos logistik dan harga barangan keperluan harian, memberi impak paling besar kepada pekebun kecil, penternak, dan peniaga mikro. – HARAKAHDAILY 30/3/2026
