KUCHING, 29 March: Pilihan Raya Negeri Sarawak dijangka akan diadakan tahun ini seiring tempoh lima tahun penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal berakhir.
Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak (PAS), Mohammad Arifiriazul Paijo berkata, PRN terakhir Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021 dan pilihan raya baharu sememangnya perlu dilaksanakan tahun ini, selaras dengan peruntukan perlembagaan.
Bagaimanapun menurutnya, penetapan tarikh dan bulan pelaksanaan PRN adalah hak prerogatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Pilihan raya negeri yang lalu diadakan lima tahun lepas. Mengikut Perlembagaan, ia perlu diadakan pada tahun ini. Soal bila, jangan tanya saya.
“Tahun 2026, saya fikir sudah pasti (akan dilaksanakan). Namun bulan pelaksanaannya adalah hak prerogatif Premier Sarawak untuk menentukannya,” katanya semasa ditemui hari ini.
Menyentuh mengenai senario pertandingan PRN akan datang, Mohammad Arifiriazul Paijo menjangkakan tiada kemenangan tanpa bertanding secara menyeluruh dalam pilihan raya negeri kali ini.
Beliau berkata, setakat ini, Sarawak mempunyai 82 kerusi DUN.
Jelasnya, jika penambahan 17 kerusi yang diluluskan tahun lalu disahkan melalui Dewan Rakyat, jumlah keseluruhan kerusi DUN akan menjadi 99.
Bagaimanapun menurutnya, penambahan kerusi berkenaan masih perlu mendapat kelulusan melalui undian majoriti mudah di Dewan Rakyat sebelum dimuktamadkan.
“Penambahan 17 kerusi diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri tahun lalu bagi menjadikan jumlah keseluruhan 99 kerusi, namun ia masih perlu mendapat pengesahan melalui undian majoriti mudah di Dewan Rakyat.
“Jika diluluskan, jumlah kerusi DUN akan menjadi 99 dan saya yakin kita beroleh kemenangan kali ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohammad Arifiriazul Paijo menyatakan keyakinan PAS akan memperoleh kemenangan kali ini dalam PRN akan datang, meskipun pertandingan dijangka lebih mencabar.-PARITKINI
