KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib menegaskan kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen seliter di Semenanjung Malaysia memberi impak besar kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar termasuk di kawasannya.
Beliau mendesak kerajaan supaya mengkaji semula mekanisme kenaikan yang terlalu mendadak kerana langkah ‘kejutan’ sebegini hanya mencetuskan panik ekonomi.
“Kerajaan perlu lebih empati terhadap denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi yang kini bergelut untuk mengimbangi perbelanjaan harian.
“Kita akan terus membawa suara rakyat bagi memastikan kebajikan mereka tidak dikorbankan demi agenda fiskal semata-mata,” katanya dalam kenyataan.
Muhammad Ismi menegaskan, kenaikan itu menimbulkan tiga kesan utama kepada rakyat, antaranya memberi tekanan terhadap sektor pertanian dan perkebunan kecil.
Beliau berkata, majoriti penduduk Parit adalah petani, pesawah dan pekebun kecil yang bergantung kepada jentera berat dan kenderaan pengangkutan diesel.
Kenaikan 80 sen itu katanya akan meningkatkan kos operasi berkali ganda, sekali gus mengecilkan pendapatan bersih petani dan meningkatkan risiko kemiskinan tegar di kawasan luar bandar.
Kedua katanya, kenaikan harga diesel menimbulkan kesan domino terhadap harga barang keperluan kerana diesel adalah nadi rantaian logistik.
Kenaikan kos pengangkutan itu jelas beliau akan dipindahkan kepada pengguna akhir, menyebabkan harga barangan asas seperti beras, sayur-sayuran dan barangan runcit meningkat, sekali gus mencetuskan gelombang inflasi baharu.
Ketiga tambah Ismi, ia memberi kesan terhadap kos pengangkutan murid sekolah dan perkhidmatan awam kerana pengusaha bas sekolah dan van di kawasan luar bandar bakal terpaksa menaikkan tambang akibat kenaikan harga diesel.
“(Langkah ini akan) akhirnya membebankan ibu bapa yang sudah pun sedia terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2026
KENYATAAN PENUH
*ISU SELAT HORMUZ: AMBIL PELUANG STATUS ‘NEGARA BUKAN MUSUH’ UNTUK JAMIN KESTABILAN HARGA MINYAK DAN BARANG KEPERLUAN*
Saya mengambil maklum mengenai laporan berita hari ini yang menyatakan pihak berkuasa Iran kini memberikan kebenaran kepada “kapal bukan musuh” untuk melalui Selat Hormuz melalui penyelarasan pihak berkuasa mereka. Sebagai sebuah negara yang sentiasa mengekalkan hubungan diplomatik yang baik dan neutral, Malaysia jelas berada dalam kategori negara yang dibenarkan menggunakan laluan strategik tersebut.
Status “bukan musuh” ini seharusnya menjadi kelebihan utama buat Malaysia dalam memastikan rantaian bekalan tenaga dan perdagangan kita tidak terputus di tengah-tengah ketegangan luar biasa di Asia Barat pada masa ini. Sehubungan itu, saya ingin mengutarakan beberapa harapan dan desakan kepada Kerajaan:
1. Manfaatkan Jaminan Laluan Selamat: Kerajaan melalui kementerian berkaitan perlu bertindak pantas menyelaraskan urusan dengan pihak berkuasa Iran bagi memastikan kapal-kapal dagang dan tangki minyak milik Malaysia mendapat akses keutamaan. Dengan adanya jaminan “laluan selamat” ini, tidak ada alasan kukuh untuk kos logistik atau insurans meningkat secara mendadak yang akhirnya akan membebankan pengguna.
2. Kekalkan Harga Minyak di Stesen Minyak: Memandangkan kapal-kapal pperdagangan Malaysia dibenarkan melalu
i selat itu tanpa gangguan, saya mengharapkan agar harga minyak di negara kita kekal stabil. Jangan biarkan spekulasi pasaran global menjejaskan harga bahan api domestik sedangkan saluran bekalan kita masih mempunyai akses melalui Selat Hormuz.
3. Cegah Rantaian Kenaikan Harga Barang: Saya juga menggesa pihak KPDN agar lebih tegas memantau harga barang di pasara
n. Kita tidak mahu pengumuman mengenai konflik ini dijadikan alasan oleh pihak pemborong atau peniaga besar untuk menaikkan harga barang keperluan atas alasan kos pengangkutan meningkat, sedangkan realitinya kapal kita masih diberikan kelonggaran untuk melintasi zon konflik tersebut.
Rakyat di kawasan luar bandar seperti di Parit amat sensitif terhadap sebarang perubahan harga minyak dan barang. Apabila harga minyak naik, ia akan membawa rantaian kenaikan harga barang yang amat memeritkan warg
a tani, peniaga kecil, dan golongan pekerja. Justeru, saya berharap status Malaysia sebagai “negara bukan musuh” ini digunakan sepenuhnya secara strategik oleh Kerajaan untuk melindungi ekonomi domestik dan memastikan poket rakyat tidak terkesan akibat krisis geopolitik ini.