MIRI: Penduduk di Bekenu dan Niah melahirkan rasa kecewa apabila pembelian petrol di beberapa stesen hanya terhad kepada RM20 bagi setiap transaksi.
Tinjauan mendapati, deretan barisan panjang kenderaan berlaku sejak awal pagi, namun ramai yang pulang hampa apabila bekalan habis sebelum mereka sempat mengisinya.
Kebanyakan penduduk turut berkongsi pengalaman mereka di status WhatsApp dan Facebook, menyuarakan rasa kecewa terhadap had pembelian serta bekalan yang kerap kehabisan.
Situasi ini dipercayai berpunca daripada kekangan bekalan global yang menjejaskan stok di kawasan luar bandar.
Setakat ini, pihak stesen minyak masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi, manakala penduduk dinasihatkan merancang awal dan mematuhi had sementara bekalan kembali stabil.
